Rabu, 2 March 2022 | 10:25am

903 calon tidak boleh ambil peperiksaan SPM

KUBANG PASU: Seramai 903 daripada 29,769 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah tidak menduduki peperiksaan itu, hari ini kerana terpaksa menjalani kuarantin akibat COVID-19.

Pengarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad, berkata bagaimanapun semua calon itu dijangka menduduki peperiksaan pada April depan seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Mereka ini menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) kerana ada yang positif COVID-19 dan ada yang diarahkan kuarantin selepas menjadi kontak rapat.

"Semua calon ini sudah divaksin dan berada dalam keadaan baik. Bagi calon yang menduduki SPM, mereka dinasihat menjalani ujian saringan kendiri COVID-19 sebelum datang ke pusat peperiksaan bagi mengelak penularan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra, di sini, hari ini.

Rozaini berkata, sebanyak 264 pusat peperiksaan di seluruh negeri dibuka calon menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini.

Katanya, seramai 25,898 calon adalah dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama, manakala calon sekolah menengah agama rakyat seramai 1,422 dan calon persendirian seramai 1,002.

"Seramai 833 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Maktab Tentera Darat (MTD) dan Sekolah Perantis Tentera, selain 498 calon sekolah menengah agama negeri dan sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM membabitkan 116 calon.

"Di Kedah, hanya dua calon yang menduduki SPM di hospital iaitu di Hospital Kuala Nerang akibat demam campak dan seorang lagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani akibat apendiks," katanya.

Sementara itu, ibu pelajar, Syuzirah Harun, 48, berkata beliau membuat persediaan awal pagi tadi supaya anaknya, Ku Mazirah Ku Ismail, 18, dapat bersarapan dan sampai awal di sekolah.

"Saya harap anak saya dapat jawab peperiksaan dengan baik dan tenang. Kami sekeluarga pernah dijangkiti COVID-19 pada September lalu, termasuk Ku Mazirah.

"Alhamdulillah, semua kembali sihat dan Ku Mazirah pun nampak bersemangat untuk menduduki peperiksaan," katanya ketika ditemui di luar SMK Tanjung Pauh.

Sebahagian calon SPM 2021 menjawab peperiksaan di SMK Tanjung Pauh, Jitra. Seramai 29,769 calon menduduki SPM 2021 di 264 pusat peperiksaan di seluruh negeri Kedah. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian calon SPM 2021 menjawab peperiksaan di SMK Tanjung Pauh, Jitra. Seramai 29,769 calon menduduki SPM 2021 di 264 pusat peperiksaan di seluruh negeri Kedah. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X