Rabu, 2 March 2022 | 9:59am
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Norisah Suhailli, meninjau calon yang menduduki peperiksaan Bertulis SPM 2021 di SMK St Joseph, Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Norisah Suhailli, meninjau calon yang menduduki peperiksaan Bertulis SPM 2021 di SMK St Joseph, Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

36,385 duduki SPM di Sarawak

KUCHING : Seramai 36,385 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak bermula hari ini hingga 29 Mac ini.

Daripada jumlah itu, seramai 34,142 adalah calon sekolah menengah kebangsaan, 937 calon sekolah swasta, 316 calon sekokah agensi selain Kementerian Pendidikan (KPM), 26 calon sekolah menengah agama rakyat dan 964 calon persendirian.

Pengarah Pendidikan negeri, Dr Norisah Suhaili, berkata sebanyak 257 pusat peperiksaan dibuka seluruh negeri dengan 189 daripadanya adalah sekolah kerajaan.

Menurutnya, enam lagi ialah pusat peperiksaan agensi selain KPM, sekolah swasta (13), sekolah agama rakyat (1) dan pusat peperiksaan pensendirian (48).

"Seramai 209 penyelia dan 3,400 pengawas terbabit dalam peperiksaan SPM 2021 di Sarawak," katanya kepada media selepas meninjau pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph di sini, hari ini.

Norisah berkata, berikutan kes jangkitan COVID-19 yang masih membimbangkan, semua calon harus mematuhi garis panduan pengurusan pentaksiran yang ditetapkan.

"Ini bukan kali pertama kita melaksanakan peperiksaan awam dalam keadaan garis panduan yang ketat kerana tahun lalu pun kita sudah melaluinnya.

"Semua calon peperiksaan awam harus mematuhi garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah yang keluarkan KPM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Mengenai calon yang didapati positif atau menjadi kontak rapat COVID-19, Norisah berkata, mereka diberi peluang untuk menduduki peperiksaan itu bulan depan.

"Dalam ujian bertutur yang diadakan sebelum ini, seramai 72 calon tidak dapat mendudukinya kerana positif COVID-19," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK St Joseph, Henry Chai berkata, seramai tiga daripada 219 calon SPM sekolah itu disahkan dijangkiti COVID-19 tidak menduduki ujian hari ini.

Berita Harian X