Selasa, 1 March 2022 | 9:04pm
Keadaan Surau di Terbok laluan Pasir-Mas ke Rantau Panjang digenangi air sehingga ke paras bumbung selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu. - FOTO BERNAMA
Keadaan Surau di Terbok laluan Pasir-Mas ke Rantau Panjang digenangi air sehingga ke paras bumbung selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu. - FOTO BERNAMA

8,678 mangsa banjir Kelantan masih di PPS

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat malam ini, walaupun satu daripada pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Kuala Krai sudah ditutup.

Berdasarkan rekod sehingga jam 8 malam ini, seramai 8,678 mangsa banjir masih berlindung di PPS yang dibuka berbanding 8,000 pada jam 4 petang tadi.

Semua mangsa itu membabitkan 2,895 keluarga yang kini berada di 30 PPS di empat daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Puteh.

PPS di Kuala Krai pula ditutup petang tadi susulan 31 mangsa dibenarkan pulang selepas banjir di rumah mereka pulih.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai dengan 8,165 orang yang ditempatkan di 23 PPS.

Mangsa banjir di Tanah Merah pula seramai 172 orang, diikuti Tumpat 298 mangsa dan Pasir Puteh dengan 43 mangsa.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan dua sungai masih melepasi paras bahaya membabitkan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu di Tumpat masing-masing mencatat bacaan 10.53 meter (m) dan 3.82 m.

Berita Harian X