Selasa, 1 March 2022 | 7:52pm
(Gambar fail) Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

3 perkara asas sandaran pembukaan semula sempadan negara

KUALA LUMPUR: Tiga perkara asas menjadi pertimbangan kerajaan untuk pembukaan semula sempadan negara, tidak lama lagi, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, hari ini, mencapai keputusan secara prinsip bahawa pembukaan semula sempadan negara adalah satu keperluan, dengan bersandarkan tiga perkara asas itu.

"Ia ialah memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka; serta berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19.

"Selain itu, membandingkan keperluan pembukaan sempadan dengan negara lain. Kita perlu tahu apa yang berlaku di negara lain selepas mereka membuka sempadan," katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.

Beliau yang kini menjalani kuarantin di rumah berkata, kementerian dan agensi berkaitan sedang memperincikan protokol yang akan dilaksanakan, termasuk berhubung prapelepasan dan ketibaan ke dalam negara.

"Apabila ia dimuktamadkan dan kebenaran diberikan, rakyat Malaysia boleh pergi ke negara yang turut membuka sempadan mereka," katanya.

Hishammuddin berkata, keputusan cadangan tarikh pembukaan semula sempadan negara sudah ada dan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam masa terdekat.

Mengulas perkembangan gelombang penularan varian Omicron pula, katanya, KKM akan memantau 'decoupling trend' bagi tempoh dua minggu akan datang.

Beliau berkata, langkah itu bagi melihat sama ada ia berkekalan atau berubah, untuk diambil kira dalam pelaksanaan kelonggaran tambahan kelak.

"Mesyuarat Kuartet hari ini turut meneliti perkembangan terkini penularan varian Omicron. Berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan (KKM), kita dapat melihat 'decoupling trend'.

"Buat masa ini, bilangan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian akibat COVID-19 ialah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun kes lebih tinggi ketika ini.

"Selain itu, kadar penggunaan katil di ICU dan alat bantuan pernafasan masih mencukupi. Diakui kadar penggunaannya sedikit meningkat, namun seperti dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ia disebabkan sebahagian pesakit COVID-19 Kategori 1 dan 2 dinasihatkan menjalani isolasi di hospital bagi mendapatkan pemantauan lebih rapi," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa penularan varian Omicron tidak akan menyebabkan pelaksanaan semula sekatan secara besar-besaran.

"Salah satu sebabnya ialah ramai rakyat sudah menerima vaksinasi lengkap. Lebih 97.5 peratus populasi dewasa menerima dua dos vaksin, manakala 62 peratus sudah mendapat dos penggalak.

"Selain itu, 90 peratus populasi remaja sudah divaksin, manakala program vaksinasi untuk kanak-kanak giat dilaksanakan," katanya.

Mengenai peralihan ke fasa endemik, beliau berkata, fasa peralihan adalah persediaan sebelum negara masuk ke fasa endemik sepenuhnya yang tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Terdapat tujuh tonggak yang harus dipenuhi bersama dalam Fasa 'Peralihan Ke Endemik'. Ini kerana sebaik saja ia diumumkan kerajaan nanti, maka usaha melindungi diri daripada virus ini lebih bergantung kepada disiplin kendiri rakyat," katanya.

Berita Harian X