Selasa, 1 March 2022 | 3:45pm

Calon terjejas banjir boleh duduki SPM di pusat peperiksaan lain - KPM

KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di kawasan yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu, dibenarkan mendudukinya di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata calon terkesan itu dibenarkan menduduki SPM di pusat peperiksaan lain sebagai calon menumpang dan perlu memaklumkannya kepada pusat peperiksaan asal.

Katanya, Lembaga Peperiksaan (LP) memantau rapi keadaan semasa pusat peperiksaan yang terjejas banjir, dan sudah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur serta selamat.

"KPM prihatin dengan kebajikan calon yang terbabit banjir. Oleh itu, calon peperiksaan SPM 2021 yang tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana banjir, boleh menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan atau pengetua di sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pengurusan menghadapi banjir ketika peperiksaan SPM, diminta menghubungi bilik gerakan LP dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas banjir, dilaksanakan mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bilangan 1/2001.

"LP juga menyediakan garis panduan khusus mengenai pengurusan menghadapi banjir ketika peperiksaan awam, meliputi aspek pengurusan sekolah dan pusat peperiksaan, calon peperiksaan, petugas peperiksaan serta pengurusan bilik kebal," katanya.

Peperiksaan SPM 2021 dijadualkan bermula esok hingga hingga 29 Mac depan membabitkan seramai 407,097 calon.

Gambar hiasan - NSTP/GHAZALI KORI
Gambar hiasan - NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X