X
Selasa, 1 March 2022 | 3:13pm
Penduduk kampung Pengkalan Pandang di Kemaman mula berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan pertembungan air pasang besar dan limpahan air sungai. - FOTO NSTP/ ROSLI ILHAM
Penduduk kampung Pengkalan Pandang di Kemaman mula berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan pertembungan air pasang besar dan limpahan air sungai. - FOTO NSTP/ ROSLI ILHAM

Pergerakan air punca perumahan sekitar Chukai mula banjir

KEMAMAN: Pergerakan air sungai dari kawasan hulu daerah ini ke bandar menyebabkan beberapa kampung di sekitar Chukai, di sini, mula dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, limpahan air sungai terbabit mula membanjiri Bandar Baru Bukit Mentuk, Kampung Bukit Mentuk, Pengkalan Pandang, Tempurung, Pasir Minal dan Gong Pauh.

Katanya, banjir terbabit turut menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan taman dan perumahan dinaiki air dan proses memindahkan penduduk giat dilakukan pihak berkuasa.

"Setakat jam 2.30 petang ini, operasi memindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan sedang dilakukan," katanya ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Pengkalang Pandang, petang ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, berkata pergerakan air terbabit juga dijangka melimpah ke beberapa lagi kampung.

"Setakat ini semua anggota keselamatan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan itu," katanya.

Hanafiah berkata, setakat ini sembilan PPS dibuka di kawasan bandar Chukai menempatkan 2,321 mangsa membabitkan 523 keluarga.

"Semua keperluan dan makanan mencukupi untuk diagihkan kepada semua mangsa," katanya.

Sementara itu, Hanafiah berkata keadaan banjir di hulu Kemaman semakin pulih berikutan paras air mulai surut, namun masih ada 5,740 mangsa membabitkan 1,535 keluarga ditempatkan di 19 PPS.

Berita Harian X