PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan dua hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, bermula esok, bagi 708 calon di Kelantan berikutan banjir.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia susulan tiada pusat peperiksaan alternatif yang sesuai selepas tujuh sekolah calon berkenaan dinaiki air, justeru mereka dijadualkan menduduki kertas peperiksaan terbabit pada sidang kedua April depan.
Beliau berkata, penangguhan itu membabitkan kertas yang sepatutnya diduduki calon, esok dan Khamis ini, meliputi subjek Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.
Katanya, ia membabitkan calon di tujuh sekolah di Rantau Panjang dan Pasir Mas, di sini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, SMK Rantau Panjang, SMK Gual Periok, Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah, SMUA Khairiah Banggol Setol, SMK Baroh Pial dan Maahad Muhammadi Rantau Panjang.
"Peperiksaan kertas berkenaan terpaksa ditangguhkan bagi calon terbabit susulan tujuh sekolah di daerah Pasir Mas dilanda banjir dan tiada pusat peperiksaan alternatif yang sesuai.
"Bagaimanapun, peperiksaan kertas lain pada tarikh seterusnya akan berjalan seperti biasa, bergantung kepada keadaan banjir.
"Setakat ini, penangguhan itu hanya bagi 708 calon berkenaan yang terbabit banjir. Di Terengganu, semua calon SPM akan menduduki peperiksaan seperti biasa, esok. Walaupun ada sekolah terjejas banjir di negeri itu, terdapat pusat peperiksaan alternatif yang sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir peperiksaan SPM yang akan berlangsung esok, di SMK Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.
Radzi menjelaskan, sidang kedua untuk SPM bukan suatu perkara baharu, kerana peperiksaan itu juga mempunyai sidang kedua pada tahun lalu berikutan terdapat calon positif COVID-19.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana calon SPM yang terkesan banjir atau sukar ke pusat peperiksaan, boleh berhubung dengan guru atau pengetua sekolah untuk tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, calon SPM yang pakaian seragam sekolah mereka rosak akibat banjir, boleh memakai sebarang pakaian bersesuaian sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.
"Kita sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar.
"Sekiranya berlaku banjir atau paras air semakin naik dalam tempoh peperiksaan berlangsung sehingga menjejaskan pusat peperiksaan, kita akan mengambil tindakan selanjutnya.
"Kita terpaksa menutup sekolah berkenaan jika tiada pusat peperiksaan alternatif yang bersesuaian di sekitar kawasan terbabit," katanya.