Selasa, 1 March 2022 | 9:41am

7,579 orang mangsa banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 7,579 orang pagi ini berbanding 7,976 orang petang semalam.

Kesemua mangsa membabitkan 2,478 keluarga itu ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS)di enam daerah.

Sehingga kini, daerah yang masih dilanda banjir iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

Jeli menjadi daerah kedua selepas Kota Bharu menutup PPS selepas mangsa banjir kembali ke kediaman masing-masing berikutan banjir di daerah berkenaan pulih.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi hari ini, Pasir Mas mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 6,458 mangsa yang berpindah ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS).

Tanah Merah pula merekodkan 396 mangsa yang ditempatkan di sembilan PPS diikuti Kuala Krai merekodkan 359 mangsa banjir yang ditempatkan di tujuh PPS.

Pasir Puteh merekodkan 283 mangsa banjir di enam PPS dan Machang mencatatkan 95 mangsa banjir di dua PPS.

Sementara itu, berdasarkan portal eBanjir Kelantan menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu masih melepasi paras bahaya setakat pagi ini.

Antara mangsa banjir yang berlindung di PPS di SK Lati, Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Antara mangsa banjir yang berlindung di PPS di SK Lati, Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X