Isnin, 28 Februari 2022 | 8:53pm

Keadaan cuaca diramal bertambah baik 1-7 Mac

KUALA LUMPUR: Luruan monsun yang melanda negara sudah melemah dan keadaan cuaca dijangka bertambah baik sepanjang tempoh esok hingga 7 Mac ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan, hari ini, ramalan itu adalah berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

"Sepanjang tempoh ramalan, cuaca pada sebelah pagi dijangka hujan di satu dua tempat saja di Pantai Timur Semenanjung dan timur Sabah.

"Pada sebelah petang hingga awal malam pula, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat dan timur Sabah," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, METMalaysia juga sudah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama dan kedua) untuk kawasan perkapalan di perairan Laut China Selatan, berkuat kuasa hingga esok.

"Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web: www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih," katanya.

Berita Harian X