X
Isnin, 28 Februari 2022 | 8:25pm
Seorang pemilik kedai runcit melihat keadaan air yang memasuki kedainya selepas beberapa kawasan di Kampung Losong dinaiki air berikutan fenomena air laut pasang besar dan hujan lebat. - FOTO BERNAMA
Seorang pemilik kedai runcit melihat keadaan air yang memasuki kedainya selepas beberapa kawasan di Kampung Losong dinaiki air berikutan fenomena air laut pasang besar dan hujan lebat. - FOTO BERNAMA

Air pasang besar: 37 kampung berhampiran muara sungai di Terengganu berisiko banjir

KUALA TERENGGANU: Penduduk di 37 kampung berhampiran 11 muara sungai utama di Terengganu dinasihatkan berwaspada berikutan risiko berlakunya banjir akibat fenomena air pasang besar mulai malam ini hingga Sabtu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, berdasarkan data Pusat Ramalan dan Amaran Banjir, fenomena itu diramal berlaku antara 5.30 petang hingga 11 malam.

"Ketinggian ombak dijangka mencecah antara 2.2 meter (m) hingga 2.6m di Kuala Terengganu dan 2.8m hingga 3.2m di Kemaman.

"Justeru, penduduk di 37 kampung ini perlu bersedia dengan risiko banjir kesan pertembungan air dari hulu sungai dan air laut pasang," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Di Muara Sungai Besut, lokasi terbabit ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail, manakala di Muara Sungai Setiu melibatkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri.

Di Muara Sungai Terengganu, kampung terbabit ialah Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa, manakala di Muara Sungai Merang kampung berisiko ialah Kampung Telaga Papan.

Beliau berkata, di Muara Sungai Ibai pula, lokasi berisiko ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama, manakala di Muara Sungai Merchang ialah Kampung Merchang.

"Di Muara Sungai Paka, terdapat empat kampung iaitu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau, manakala di Muara Sungai Kemasik ialah Kampung Baru Kemasik.

"Di Muara Sungai Kemaman pula ialah Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi. Di Muara Sungai Dungun pula ialah Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang serta Kampung Sura di Muara Sungai Sura," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk di enam kampung di lembangan Sungai Terengganu iaitu Kampung Losong, Kampung Pulau Kambing, Kampung Paloh, Kampung Teluk Pasu, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Kubang Tangga turut perlu berhati-hati. – BERNAMA

TAG: sungai, banjir, risiko, laut, air pasang, Terengganu

Berita Harian X