RANTAU PANJANG: "Kami hanya 'tidur ayam' sambil bertemankan cahaya lilin selepas bekalan elektrik ditutup kerana paras air banjir semakin tinggi," kata suri rumah Azah Fauzi Shalwati Aziz, 29, dari Kampung Luar, Gual Periok di sini, yang masih bertahan dalam rumahnya walaupun sekelilingnya sudah ditenggelami banjir.
Azah mengakui resah melihat peningkatan paras banjir tetapi mendakwa, kediamannya masih boleh diduduki kerana paras air baru mencecah bahagian tangga rumahnya.
Beliau berkata, bekalan elektrik ditutup mulai pada petang semalam dan hampir keseluruhan rumah di kawasan itu serta penempatan berdekatan bergelap malam tadi.
"Bagaimanapun, tindakan diambil Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah yang paling baik, kerana dapat mengelak risiko sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aliran elektrik kerana kebanyakan rumah sudah ditenggelami air.
"Kami sekarang perlu mencari ikhtiar sendiri untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ini, tetapi mengharapkan pihak yang bertanggungjawab untuk memantau penduduk di sini yang memerlukan bantuan.
"Saya bimbang jika air terus meningkat, kerana dimaklumkan pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan juga sudah penuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain Kampung Luar, ada juga penempatan lain yang terjejas 100 peratus seperti Kampung Padang Licin, Kampung Kusar dan Kampung Bawah Lembah, yang mana majoriti kediaman penduduk ditenggelami air sehingga paras bumbung.
Sementara itu, Suhaida Ismail, 38, mengakui bimbang kerana kediaman saudara yang menjadi tempatnya tumpang berteduh juga menunggu masa dinaiki air.
"Kami buntu, tidak tahu apa harus dilakukan. Tambahan pula, saya bersama ibu, Che Maskah Mohamad, 64, menghidap angin ahmar dan perlu sentiasa dibantu.
"Ini adalah banjir terburuk pernah saya lalui di sepanjang hidup saya dan berdoa semoga ia cepat surut kerana tidak mampu lagi menanggung dugaan ini," katanya.