Ahad, 27 Februari 2022 | 9:08pm
Sebuah lori membawa penumpang yang terkandas meredah banjir di Jalan Kuala Berang selepas air melimpah di atas jalan raya ekoran hujan lebat hari ini
Sebuah lori membawa penumpang yang terkandas meredah banjir di Jalan Kuala Berang selepas air melimpah di atas jalan raya ekoran hujan lebat hari ini

'Cuaca di Pantai Timur bertambah baik esok' - NADMA

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca di Semenanjung, khususnya negeri-negeri di Pantai Timur, dijangka bertambah baik mulai esok, berikutan luruan monsun yang melanda negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung dijangka semakin melemah.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, ramalan itu berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) (MET-WRF), Pusat untuk Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Katanya, amaran hujan berterusan daripada MET Malaysia pada jam 12.15 tengah hari tadi juga menunjukkan tiada lagi negeri dan daerah yang berada dalam amaran kategori bahaya (merah).

"Sehingga jam 1.50 petang tadi, hujan masih berlaku di kawasan pedalaman, namun intensitinya dilaporkan makin berkurangan hari ini.

"Namun, stesen utama MET Malaysia di Hulu Terengganu, Kuala Krai, Gong Kedak, Jeli, dan Kota Bharu masih mencatat hujan lebat.

"Jumlah hujan di Stesen Meteorologi utama Terengganu dan Kelantan (sehingga jam 12:00 tengah hari) pula adalah tinggi iaitu Hulu Terengganu, Terengganu (253.5); Kuala Krai, Kelantan (154.8); Gong Kedak, Terengganu (106.4); Jeli, Kelantan (96.4) dan Kota Bharu, Kelantan (38.0).

"Keadaan cuaca di Semenanjung dijangka bertambah baik mulai esok. Hujan dan ribut petir dijangka berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat dan timur Sabah pada sebelah petang hingga awal malam ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Khas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat, hari ini.

Menurut NADMA, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan tiada stesen paras air sungai yang merekodkan paras bahaya di Kelantan, kecuali di lembangan Sungai Golok, yang mungkin akan meningkatkan paras air di kawasan Rantau Panjang.

Selain itu, katanya, terdapat peningkatan air di Lembangan Sungai Besut berikutan hujan lebat, manakala paras air di Lembangan Sungai Setiu masih pada status bahaya tetapi sudah menunjukkan pola menurun.

"Lembangan Sungai Terengganu pula menunjukkan peningkatan aras air akibat hujan sangat lebat di Hulu Sungai Terengganu.

"Bacaan aras air di Sungai Dungun berada pada tahap bahaya dengan trend meningkat, manakala di Kemaman, trend dilaporkan menaik walaupun paras air dilihat menurun semalam," katanya.

Berita Harian X