Ahad, 27 Februari 2022 | 7:23pm

Program rintis bayaran bantuan kewangan JKMPay penerima baharu ditangguh

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menangguhkan perluasan Program Rintis Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai atau JKMPay ke negeri atau daerah lain sehingga kajian kebolehlaksanaan projek rintis inisiatif itu diselesaikan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Rosmahwati Ishak memaklumkan demikian semasa soal jawab dalam sesi libat urus JKM bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Orang Kurang Upaya (OKU) kelmarin.

Dalam kenyataan semalam, JKM memaklumkan, pihaknya akan sentiasa mengambil maklum isu berbangkit berkaitan kumpulan sasar KPWKM dengan menggunakan pendekatan 'The Whole Government and Whole of Nation' (seluruh kerajaan dan seluruh negara).

"Ia supaya penggemblengan tenaga pelbagai pihak seperti PSK, agensi, korporat, pemimpin tempatan dan komuniti dimanfaatkan bagi menjayakan program khususnya penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada kumpulan sasar," kata jabatan berkenaan.

Menurut JKM, sesi libat urus itu berlangsung selama dua hari bermula 24 Februari lalu untuk memberi penerangan berkenaan pelaksanaan Program Rintis Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai.

"KPWKM juga mengambil maklum semua maklum balas dan saranan yang dikemukakan untuk penambahbaikan perkhidmatan JKMPay pada masa akan datang. Untuk makluman, hanya 4,722 penerima bantuan baharu dilibatkan dalam program ini yang terdiri daripada kalangan warga emas, keluarga miskin dan OKU.

"Seramai 519,409 penerima bantuan sedia ada tidak terlibat dalam projek rintis ini dan masih kekal menerima keseluruhan bantuan mereka," katanya

Berita Harian X