Ahad, 27 Februari 2022 | 5:01pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bertemu ahli PBB Spaoh hari ini.- Foto NSTP/Ihsan DCMO
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bertemu ahli PBB Spaoh hari ini.- Foto NSTP/Ihsan DCMO

249,000 belum ambil dos penggalak di Sarawak

KUCHING: Kira-kira 249,000 penduduk Sarawak masih belum mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata orang ramai harus mengambil peluang yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan suntikan percuma itu.

Beliau berkata, orang ramai juga harus sedar bahawa suntikan dos penggalak sangat penting bagi mendapatkan perlindungan daripada COVID-19.

"Manfaatkanlah sepenuhnya peluang seperti ini disediakan oleh kerajaan. Dos penggalak itu menguatkan lagi dua dos suntikan vaksin yang diterima sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Tengah, Spaoh, di Betong, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, setakat semalam, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memaklumkam kira-kira 86.3 peratus populasi negeri ini sudah mendapat suntikan dos penggalak masing-masing.

Selain itu, beliau mengulangi nasihat kepada orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah jangkitan COVID-19.

"Langkah berjaga-jaga harus menjadi amalan kerana vrian Omicron yang sedang tersebar ketika ini mempunyai kadar jangkitan sangat tinggi.

"Sarawak merekodkan 476 kes positif COVID-19 baharu hari ini dan 483 kes semalam," katanya.

Berita Harian X