Ahad, 27 Februari 2022 | 4:17pm
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi menyelamat dikerahkan bagi menjalankan operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir di Terengganu serta Kelantan sejak semalam. - Foto FB Ismail Sabri
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi menyelamat dikerahkan bagi menjalankan operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir di Terengganu serta Kelantan sejak semalam. - Foto FB Ismail Sabri
Pasukan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat. - Foto FB Isimail Sabri
Pasukan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat. - Foto FB Isimail Sabri
Mangsa banjir supaya kekal waspada dengan bencana yang berlaku. - Foto FB Isimail Sabri
Mangsa banjir supaya kekal waspada dengan bencana yang berlaku. - Foto FB Isimail Sabri

NADMA, agensi menyelamat dikerahkan sejak semalam - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi menyelamat dikerahkan bagi menjalankan operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir di Terengganu serta Kelantan sejak semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat.

Pada masa sama, beliau mengarahkan NADMA untuk memastikan kit makanan mencukupi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain Kementerian Kesihatan (KKM) membantu dalam memastikan langkah pencegahan penularan COVID-19 di PSS.

Selain itu, katanya ATM melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga diaturgerak bagi membantu mangsa di kedua-dua negeri.

"Saya menerima laporan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu terutamanya di Hulu Terengganu ditimpa musibah banjir yang teruk.

"Sejak semalam, NADMA serta agensi menyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, (Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dikerahkan bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses evakuasi mangsa berjalan lancar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ismail Sabri menasihatkan mangsa banjir supaya kekal waspada dengan bencana yang berlaku, dengan mematuhi langkah-langkah keselamatan.

Rentetan musibah yang berlaku, beliau mengajak rakyat Malaysia bersama-sama berdoa demi kesejahteraan mangsa banjir dan keadaan dapat pulih seperti sediakala.

"Kepada mangsa banjir, ikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.

"Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Berita Harian X