Ahad, 27 Februari 2022 | 11:19am

80 peratus sampel ada jangkitan varian Omicron

PUTRAJAYA: Data survelan genom SARS-CoV-2 dalam tempoh enam bulan bermula Ogos lalu hingga Januari tahun ini menunjukkan sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan 1,244 sampel yang diproses di negara ini, mempunyai jangkitan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pada Disember tahun lalu, kes COVID-19 membabitkan varian Omicron hanya dikesan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Namun, beliau berkata, situasi itu berubah sejak Januari lalu apabila penularan tempatan varian Omicron mula dilaporkan dan membabitkan hampir semua negeri.

"Bagi mengetahui sejauh mana penularan varian membimbangkan (VOC) dalam komuniti, sampel dikumpulkan secara rawak daripada pesakit positif COVID-19 di seluruh Malaysia untuk menjalani proses penjujukan genom virus COVID-19.

"Data dalam tempoh enam bulan menunjukkan varian Omicron merangkumi 80 peratus daripada semua hasil penjujukan genom di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes pertama varian Omicron di Malaysia dilaporkan pada 3 Disember lalu, iaitu pada Minggu Epidemiologi (ME) 48/2021.

Katanya, ia membabitkan pengembara warga asing dari Afrika Selatan dan sejak itu, varian berkenaan merebak pantas dalam kalangan komuniti berbanding varian Delta.

"Hingga 19 Februari lalu, Malaysia melaporkan sebanyak 950 kes varian Omicron dengan 764 adalah jangkitan dari luar negara dan 186 lagi penularan tempatan.

"Malaysia mula menunjukkan lonjakan jangkitan COVID-19 pada ME 6/2022 dengan 115,032 kes, meningkat 167 peratus berbanding 43,062 kes pada ME 5/2022.

"Bagaimanapun, peningkatan kes ini juga dapat dilihat di beberapa negara ASEAN yang lain, iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, dan Filipina," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat 20 Februari lalu, sebanyak 169 negara melaporkan pengesanan sebanyak 1,571,345 kes varian Omicron, melalui media dan Internet.

"Sementara itu, sebanyak 153 negara dengan 1,406,717 kes varian Omicron dilaporkan dalam laman sesawang Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

"Tiga negara sudah melepasi puncak gelombang varian Omicron, iaitu United Kingdom (UK) dengan 498,510 kes, diikuti Amerika Syarikat (AS) (438,156) dan Denmark (80,324).

"Negara ASEAN pula menunjukkan peningkatan kes tetapi belum lagi mencapai puncak gelombang varian Omicron," katanya.

Berita Harian X