RANTAU PANJANG: "Banjir kali ini lebih buruk daripada bah besar 2014. Buktinya, rumah saya yang sudah didiami lebih 70 tahun bermula dengan datuk dan nenek, tidak pernah dinaiki air sebelum ini. Namun hari ini, banjir menenggelami rumah hingga mencecah paras 0.4 meter."
Demikian dikongsikan mangsa banjir, Fazilah Ghani, 30, yang terpaksa berpindah sementara ke rumah saudara apabila kediamannya di Kampung Gual To'Deh, di sini, dinaiki air sejak jam 3 pagi tadi.
Fazilah berkata, beliau bersama suami, Muhafiz Ahmad, 30, terkejut apabila melihat air mula memasuki rumah mereka lalu bergegas membawa dua anak berusia tiga dan lima tahun ke tempat selamat.
"Kami menyimpan barangan penting di tempat lebih tinggi setakat termampu, kerana 'berlumba masa' dengan air yang meningkat dengan sangat pantas.
"Malam tadi, saya dan suami langsung tidak tidur kerana khuatir dengan keadaan cuaca hujan lebat serta angin kencang.
"Sebelum ini, kampung saya memang antara yang paling awal dilanda banjir, namun rumah kami terletak di lokasi tinggi dan tidak pernah dinaiki air.
"Bagaimanapun, keadaan kali ini amat luar biasa kerana air 'sampai' ke rumah kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Malah, beliau berkata, neneknya juga agak terkejut kerana kali pertama rumah dinaiki air selepas lebih 70 tahun menetap di situ.
Kampung Gual To'Deh ialah antara kawasan dilanda banjir ketika ini susulan limpahan air Sungai Golok, Rantau Panjang.
Penduduk Kampung Tersang, Nasir Kamarul, 56, berkata beliau hanya mampu reda apabila melihat kediamannya dan jiran ditenggelami banjir hingga mencecah bumbung.
Beliau berkata, tiada harta benda dapat diselamatkan berikutan keadaan banjir kali ini tidak dijangka sama sekali.