Ahad, 27 Februari 2022 | 10:14am

Paras air Sungai Golok hampir cecah paras banjir 2014

KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat, tetapi belum melepasi bacaan pada 2014.

Pengarah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha, berkata bacaan terkini sehingga jam 9 pagi ini, paras air Sungai Golok adalah 10.52 meter (m).

Katanya, paras air sungai itu pada 2014 adalah 10.84m menyebabkan banyak kampung dan bandar Rantau Panjang serta Pasir Mas lumpuh selepas dilanda banjir.

"Walaupun paras air sungai terkini belum melepasi bacaan 2014, banyak kampung dan bandar Rantau Panjang sudah dilanda banjir menyebabkan ramai penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan lokasi selamat.

"JPS terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa memandangkan hujan masih lebat dan akan menyebabkan air Sungai Golok akan meningkat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamal menasihatkan kepada penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas terutama di lokasi rendah supaya terus waspada serta mengambil langkah berpindah jika melihat air terus naik.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan semua penduduk selamat dan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada mereka.

Terdahulu, tular di laman Facebook yang mendakwa paras air Sungai Golok sudah melepasi bacaan pada 2014 menyebabkan banyak kampung terjejas dan penduduk meminta bantuan untuk berpindah.

Berikutan peningkatan paras air itu juga menyebabkan penduduk risau jika berlaku banjir besar seperti Disember 2014.

Hujan lebat berterusan menyebabkan paras air naik dan beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dilanda banjir. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Hujan lebat berterusan menyebabkan paras air naik dan beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dilanda banjir. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X