Ahad, 27 Februari 2022 | 9:28am

Mangsa banjir terus meningkat di Kelantan

KOTA BHARU: Banjir di Kelantan semakin buruk dengan 3,546 mangsa terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), melonjak berbanding 2,044 petang semalam.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.15 pagi tadi, mereka meliputi 1,157 lelaki dewasa, 1,128 wanita dewasa, 605 kanak-kanak lelaki, 568 kanak-kanak perempuan dan 88 bayi.

Semua mangsa banjir daripada 1,125 keluarga itu kini ditempatkan di 33 PPS di lima daerah, iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Pasir Mas mencatat peningkatan mendadak mangsa banjir berikutan hujan lebat berterusan, dengan 2,455 penduduk berpindah ke 10 PPS.

Kuala Krai merekodkan 451 mangsa banjir berlindung di sembilan PPS, manakala Tanah Merah pula 341 orang di sembilan PPS.

Jeli mencatat 268 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS, dan Pasir Puteh merekodkan 31 mangsa di sebuah PPS.

Sementara itu menurut portal eBanjir Kelantan, tiga jalan ditutup di Tanah Merah, iaitu Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan, serta Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Keadaan banjir di Kelantan. - FOTO BERNAMA
Keadaan banjir di Kelantan. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X