Sabtu, 26 Februari 2022 | 6:41pm
Datuk Seri Nancy Shukri.
Datuk Seri Nancy Shukri.

VTL bantu pulih sektor pelancongan negara

KUCHING: Cadangan melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara, darat dan laut antara Malaysia dan Thailand diyakini dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Thailand itu dibincangkan ketika kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha semalam, membolehkan pelaksanaan VTL bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, katanya cadangan itu tepat pada masanya untuk merancakkan semula hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara, terutamanya dalam sektor pelancongan.

"VTL dengan Thailand memberi ruang khususnya kepada pelancong yang sudah lama menunggu peluang untuk menziarahi keluarga, selain melancong sama ada di Thailand atau Malaysia.

"VTL ini boleh dilihat sebagai langkah permulaan untuk kedua-dua pihak menilai keberkesanan pembukaan sempadan kedua-dua negara ke atas ekonomi Malaysia dan Thailand," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nancy berkata, Malaysia memang menerima ramai pelancong dari Thailand dan langkah dicapai melalui VTL itu mampu memberi suntikan baharu kepada rakyat kedua-dua negara untuk merancang perjalanan mereka.

Sektor pelancongan yang terjejas selama ini juga, katanya boleh merancang perniagaan mereka dan diharap VTL Thailand-Malaysia boleh meningkatkan lagi penjanaan ekonomi negara.

"Dari segi statistik, Malaysia menerima kedatangan 1,884,306 pelancong antarabangsa dari Thailand pada 2019.

"Namun, disebabkan pandemik COVID-19, jumlah kedatangan pelancong asing dari Thailand ke Malaysia menurun kepada 394,413 orang pada 2020 dan 39,425 bagi tempoh Januari hingga September 2021," katanya.

Semalam, Perdana Menteri ketika lawatan rasminya ke Thailand menyatakan persetujuan dicapai beliau dan rakan sejawatnya di Bangkok mengenai pelaksanaan VTL. Sebagai permulaan, VTL-Udara akan dilaksanakan antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang sudah lengkap vaksinasi.

Skim VTL juga akan dikembangkan untuk pembukaan sembilan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta semua Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di utara semenanjung dan Selatan Thailand, serta VTL-Laut antara Langkawi-Satun.

Mengenai tindakan mewujudkan VTL dengan negara jiran termasuk Thailand, Nancy berkata ia sedang diselaraskan Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pengumuman mengenai tarikh pelaksanaan VTL Malaysia-Thailand akan dibuat apabila kedua-dua negara mencapai kesepakatan berhubung prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa perkara teknikal berkaitan.

Berita Harian X