RANTAU PANJANG: Operasi perniagaan di Pekan Rantau Panjang ditutup sementara sepenuhnya akibat banjir susulan limpahan air Sungai Golok, di sini, hari ini.
Selain keseluruhan premis jualan ditutup, hasil tinjauan juga mendapati semua pintu masuk utama yang dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan ke pekan itu dinaiki air mencecah paras 0.5 hingga 1.5 meter (m).
Peniaga, Azhar Che Daud, 48, berkata kebanyakan peniaga terbabit tidak menjangka banjir melanda pekan Rantau Panjang, hari ini, sebelum dimaklumkan bahawa pekan itu mula dilanda banjir kira-kira jam 4 pagi tadi.
"Saya bergegas ke kedai sebelum subuh untuk mengalihkan pakaian jualan ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkannya ditenggelami air. Biasanya apabila banjir, air akan menenggelami kedai hingga 0.3m tetapi jika banjir besar, parasnya lebih tinggi.
"Banjir kali ini memang di luar jangkaan kerana kami menyangka musim kemarau ketika ini. Rata-rata kami baru saja menghela nafas lega kerana dapat berniaga semula dengan peningkatan pelanggan, namun diuji dengan banjir sekali lagi.
"Bagaimanapun, kami sudah biasa dengan banjir, cuma sedikit terkejut kerana air naik dengan cepat dan ia berlaku di luar musim tengkujuh pada kali ini," katanya ketika ditemui di premis perniagaan beliau, hari ini.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat jam 2.15 petang tadi, air Sungai Golok masih mencatat bacaan melebihi paras bahaya, iaitu 10.42m dengan situasi trend meningkat.
Peniaga kedai makan, Rosnah Saari, 52, berkata mujur beliau telah mengambil langkah persediaan awal dengan mengemas barangan sejak petang semalam, kerana tidak 'sedap hati' dengan keadaan cuaca hujan lebat dan angin kencang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail, berkata Pekan Rantau Panjang memang lazim dijangka banjir jika bacaan paras air sungai melebihi 10m.
"Pihak kami juga menerima banyak panggilan, terutama daripada penduduk yang terkesan dengan banjir seperti di Kampung Bagus, Kampung Banggol Kulim dan Kampung Kedai Lama yang meminta bantuan untuk berpindah ke tempat selamat.
"Bilangan penduduk yang berpindah akan meningkat jika paras air terus naik. Selain itu, pemantauan berkala turut dilakukan di kawasan perniagaan di Pekan Rantau Panjang," katanya.
Keadaan di pekan Rantau Panjang yang digenangi air, hari ini. - VIDEO SYAHERAH MUSTAFA pic.twitter.com/Y17gIpYe7K
— Berita Harian (@bharianmy) February 26, 2022