Sabtu, 26 Februari 2022 | 2:41pm
Mohd Afendi memindahkan lembu ke tempat selamat bagi mengelak ternakannya lemas susulan hujan berterusan di Kampung Paya Besar, Kuala Besut, Terengganu. - NSTP/ZAID SALIM
Mohd Afendi memindahkan lembu ke tempat selamat bagi mengelak ternakannya lemas susulan hujan berterusan di Kampung Paya Besar, Kuala Besut, Terengganu. - NSTP/ZAID SALIM

Banjir Terengganu: Pindah lembu lebih awal elak rugi lagi

KUALA BERANG: Serik menanggung kerugian berulang, seorang penternak tidak menunggu lama apabila terus memindahkan 13 lembu peliharaannya ke tempat selamat sebelum kandang ditenggelami banjir.

Mohd Afendi Hanafi, 37, dari Kampung Paya Besar, di sini, berkata dia bertindak memindahkan lembu terbabit yang dianggar berharga sekitar RM3,000 seekor lebih awal kerana serik dengan beberapa kejadian banjir sebelum ini yang menyebabkan ternakan lemas.

"Akibat kerap berdepan banjir, saya harus memikirkan cara terbaik bagi menggelakkan kerugian besar. Setiap tahun kandang tenggelam dan saya tidak mahu lagi menanggung risiko, jadi terus memindahkan semua ternakan saya ke tempat lebih selamat sebelum kandang dipenuhi air.

"Lagipun banjir kali ini agak pelik daripada tahun sebelum ini dan air naik dengan cepat," katanya ketika ditemui sedang mengalih ternakannya dalam keadaan hujan, hari ini.

Katanya, walaupun sukar memindahkan ternakan berkenaan seekor demi seekor, dia terpaksa melakukannya walaupun mengambil masa lama kerana haiwan berkenaan adalah harta dan sumber rezekinya.

"Tak sangka banjir sekarang kerana setiap tahun bencana itu pada Disember atau Januari. Banjir kali ini juga di luar jangkaan dan secara tiba-tiba. Selepas mendapati paras air semakin naik dan hujan tidak berhenti, saya terus memindahkan semua lembu bagi memastikan ternakan selamat, sekali gus mengelak kerugian," katanya.

Berita Harian X