Sabtu, 26 Februari 2022 | 11:23am
Rosnaini melayan pelanggan di kedai makannya yang dilanda banjir di Rantau Panjang, hari ini. -
Rosnaini melayan pelanggan di kedai makannya yang dilanda banjir di Rantau Panjang, hari ini. -
Banjir melanda kawasan kediaman Abdullah Awang di Kampung Gual To’Deh. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Banjir melanda kawasan kediaman Abdullah Awang di Kampung Gual To’Deh. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Makanan habis dibeli mangsa banjir

RANTAU PANJANG: "Saya terpaksa berniaga seawal jam 5 pagi berbanding lazimnya jam 7 pagi, kerana bimbang lauk-pauk yang sudah siap dimasak tidak terjual akibat banjir hari ini."

Peniaga, Rosnaini Ibrahim, 47, berkata kedai makan yang diusahakannya, di sini, mula dinaiki air hingga mencecah 0.3 meter (m) kira-kira jam 3 pagi tadi.

"Kejadian air naik pada pagi ini adalah di luar jangkaan. Jika dapat mengagak lebih awal, pasti saya tidak akan menyediakan bahan masakan, semalam, sebaliknya menumpukan kerja mengemas barangan supaya tidak ditenggelami banjir.

"Namun Alhamdulillah, walaupun kedai dibuka terlalu awal, semua makanan jualan habis dibeli penduduk setempat.

"Mereka bangun awal pagi untuk menyelamatkan kenderaan, barangan dan dokumen penting berikutan banjir, sebelum mengambil peluang membeli makanan di kedai saya.

"Malah, ada pelanggan yang tetap santai menjamu selera walaupun kaki berendam dalam banjir," katanya.

Sementara itu menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat jam 9.45 pagi tadi, Sungai Golok melebihi paras bahaya pada bacaan 10.37m.

Kawasan rendah di Rantau Panjang seperti Kampung Gual To'Deh, Kampung Tersang, Kampung Tasek Bakong dan Kampung Pasang Licin juga sudah ditenggelami banjir.

Penduduk, Abdullah Awang Noh, 64, berkata air naik di pekarangan kediamannya sejak kira-kira jam 6 petang semalam selepas hujan lebat, menyebabkan beliau menggunakan perahu untuk keluar dari kawasan rumah.

"Banjir kali ini agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana air naik dengan sangat cepat.

"Selain itu, lazimnya musim kemarau pada hujung Februari tetapi kali ini banjir pula yang melanda lagi.

"Saya dan keluarga akan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'deh berikutan rumah digenangi air sedalam 1.5m," katanya.

Berita Harian X