Sabtu, 26 Februari 2022 | 7:59am
Keadaan di pintu JKDM yang mula dinaiki air kira-kira jam 4 pagi tadi. - Foto ihsan penduduk
Keadaan di pintu JKDM yang mula dinaiki air kira-kira jam 4 pagi tadi. - Foto ihsan penduduk

Banjir: 2 laluan utama ke Rantau Panjang ditutup

RANTAU PANJANG: Dua laluan utama ke pekan Rantau Panjang membabitkan Pintu Dua dan Pintu Tiga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), ditutup berikutan dinaiki air separas 0.5 hingga satu meter (m), awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu berlaku susulan limpahan air Sungai Golok yang kini melepasi paras bahaya dengan bacaan mencecah 10.32m, setakat jam 6.30 pagi tadi.

Penduduk tinggal berdekatan lokasi itu, Rogayah Awang, 52, mengaku terkejut kerana air naik terlalu pantas dan beliau terpaksa bergegas mengalihkan barangan serta dokumen penting ke tempat selamat.

Katanya, beliau sedia maklum akan peningkatan paras Sungai Golok sejak semalam, namun tidak menyangka air boleh melimpah sehingga membanjiri beberapa kawasan di pekan itu dengan begitu cepat.

"Saya terkejut apabila pekarangan rumah mula digenangi air separas 0.2m, kira-kira jam 2 pagi dan dalam tempoh beberapa jam saja, ia terus meningkat kepada 0.5m hingga mencecah paras pinggang.

"Jika hujan berterusan, selain berlaku peningkatan paras air Sungai Golok, banjir akan memasuki bahagian dalam rumah dan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan.

"Bagaimanapun demi keselamatan, kami sekeluarga mula berpindah untuk tumpang berteduh di rumah saudara yang selamat daripada banjir, selain mengalihkan motosikal dan kereta daripada ditenggelami air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, lima sungai di Kelantan sudah melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Lanas di Jeli, Sungai Lebir serta Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kampung Temangan di Machang, Sungai Jenob di Tanah Merah, serta Sungai Golok di Rantau Panjang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal@Zainal Madasin ketika dihubungi menasihati penduduk di lokasi banjir segera berpindah ke tempat selamat.

Beliau berkata, pihak JBPM sentiasa bersedia memberi bantuan dan perkhidmatan dalam menghadapi banjir.

Selain itu, katanya, rondaan berkala dilakukan dengan lebih kerap bagi memantau keadaan semasa di pekan serta kawasan rendah yang dinaiki air.

Berita Harian X