Jumaat, 25 Februari 2022 | 9:56pm
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali.
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali.

FAMA terus teroka pasaran eksport baharu nangka Malaysia

DUBAI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus meneroka pasaran baharu untuk mengeksport nangka tempatan, selain memperkukuh pasaran tradisi seperti Dubai, Singapura dan Hong Kong.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Yang Razali, berkata nangka Malaysia mendapat permintaan memberangsangkan di luar negara kerana mempunyai pelbagai variasi dan berkualiti.

"Nangka Malaysia terbaik dan tetap menjadi pilihan walaupun untuk eksport, kita terpaksa gunakan kapal terbang dan kapal laut untuk kekalkan kualitinya," katanya kepada BERNAMA, di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, penyertaan FAMA dalam Minggu Pertanian Lestari di Ekspo 2020 Dubai selama lima hari yang bermula Isnin, platform terbaik untuk meluaskan pasaran eksport, bukan sahaja di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malah di negara Teluk.

"Ekspo ini kesempatan yang amat baik kerana Dubai bukan hanya pintu masuk untuk negara Teluk, tapi juga berfungsi menemukan pengimport dari seluruh dunia. FAMA pastinya akan terus menyertai pelbagai aktiviti seperti ini di luar negara, misalnya di Hong Kong dan London," katanya.

Sementara itu, syarikat Malaysia, SunFresh Foods Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Nokivi Group (Nokivi AB Sweden and Nokivi Pte Ltd, Singapore) bagi membekalkan nangka segar.

SunFresh Foods dalam satu kenyataan berkata, menerusi kerjasama itu, nangka hijau akan digunakan untuk pembuatan daging atau makanan yang berasaskan tumbuhan dengan nilai eksport kira-kira AS$2 (AS$1=RM4.20) sekilogram.

"Kami menjangkakan pengambilan awal sekitar RM1 juta pada tahun pertama dan secara beransur-ansur meningkat sehingga RM100 juta setahun," kata kenyataan itu.

Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation sebagai agensi pelaksana. - BERNAMA

Berita Harian X