Jumaat, 25 Februari 2022 | 3:42pm
Mahdzir (dua dari kanan) ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak pada program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli di Kampung Dalam, Parit Sulong. Foto NSTP/Essa Abu Yamin
Mahdzir (dua dari kanan) ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak pada program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli di Kampung Dalam, Parit Sulong. Foto NSTP/Essa Abu Yamin

Kurangkan kerusi bukti UMNO bertolak ansur

BATU PAHAT: Keputusan UMNO mengurangkan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan parti itu sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dalam parti komponen Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah berkenaan membuktikan BN sangat mementingkan amalan bermusyawarah.

"BN sudah bertapak di Malaysia selama 60 tahun, apabila ada lebih daripada satu parti seperti BN, kena ada istilah tolak ansur. Tak boleh ambil semua pada kita (UMNO).

"Bila datang kepada parti seperti ada UMNO, MCA dan MIC, jadi kita kena ada sifat tolak ansur," katanya selepas merasmikan program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli, di Kampung Dalam, Parit Sulong hari ini.

Mengulas tindakan UMNO menukar calon di dua kerusi DUN Sungai Balang dan DUN Tanjung Surat semalam, Mahdzir berkata situasi politik di PRN Johor dilihat amat berbeza ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semalam, ketika mengumumkan calon di Johor Bahru, UMNO membenarkan parti komponennya MCA dan MIC untuk mengekalkan jumlah kerusi sama yang ditandingi pada PRU 2018.

Sementara itu, UMNO akan bertanding di dua kerusi tambahan berbanding pada PRU lalu selepas menyerap kuota dua kerusi GERAKAN yang bukan lagi sebahagian daripada parti komponen BN.

Mahdzir berkata, UMNO, MIC dan MCA masing-masing bersikap bertolak ansur dan akhirnya ada kata sepakat yang diputuskan semalam.

"Atas sebab itu BN optimis dapat memenangi kerusi-kerusi yang pernah kalah pada PRU-14 lalu. Kebarangkalian BN untuk menang di tempat-tempat yang dijangka tidak menang itu kerana kita yakin dan optimis kita boleh menang.

"Kerana apa yang berlaku di Melaka, di Sarawak, orang pun menjangkakan macam lain tapi pengundi di sana sudah mempunyai keputusan yang agak luar biasa berbanding 2018," katanya.

Berita Harian X