Jumaat, 25 Februari 2022 | 1:57pm
Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM berkuat kuasa pada Khamis. - Foto Institut Kefahaman Islam Malaysia
Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM berkuat kuasa pada Khamis. - Foto Institut Kefahaman Islam Malaysia

Mohd Kamal dilantik pengerusi IKIM

PUTRAJAYA: Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, 79, dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju pelantikan Mohd Kamal itu dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi IKIM.

"Pelantikan Mohd Kamal itu berdasarkan ketokohannya sebagai seorang pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan modal insan serta diiktiraf di peringakat antarabangsa.

"Tahniah di atas pelantikan itu dan kerajaan yakin dengan gabungan kewibawaan kedua-dua individu berkenaan untuk menerajui kecemerlangan IKIM, sesuai dengan visi dan misi penubuhan institut berkenaan," katanya dalami satu kenyataan media.

Mohd Kamal dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM) pada 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

Beliau diamanahkan sebagai Rektor UIAM pada 1999 hingga 2006, selain turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja serta dinobatkan Profesor Ulung atas sumbangan bakti dalam dunia akademik.

Sementara itu, Wan Mohamad berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1978.

Beliau turut memiliki Diploma Sains Pengurusan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 1989 selain mempunyai kepakaran dalam pengurusan hal ehwal Islam termasuk bidang dakwah, penyelidikan serta pembangunan Islam.

Wan Mohamad pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari 2007 hingga 2011 serta menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia (PUM).

Berita Harian X