BOTA: "Alhamdulillah, kami bersyukur apabila impian untuk memiliki rumah yang lebih selamat dan selesa tercapai, namun agak sedih juga kerana arwah ayah tak sempat merasainya," kata Ruziah Sallehuddin.
Ruziah, 17, bersama ibu, Ramlah Mat Nayan, 55, dan adiknya, Muhamad Mazlan, 14, bersyukur apabila terpilih sebagai antara penerima program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.
Ruziah berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di rumah pusaka keluarga arwah bapanya yang terlalu usang dengan lantai dan dinding papan kayu sudah reput serta ada sebahagian dinding terbuka selain bumbung juga bocor.
"Jika arwah ayah masih ada mesti dia gembira kerana ini juga adalah impiannya, malah ayah juga berusaha mendapatkan bantuan sebelum ini," katanya ditemui di rumah baharu mereka di Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan, satu kilometer dari rumah lama mereka, semalam.
Dua beranak berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran menerima kunci rumah yang disampaikan Khairul Shahril dan Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin.
Sharuddin berkata, dua rumah berkenaan antara 21 yang dibina melalui projek Baiti Jannati TNB tahun lalu dengan ada yang sudah diserahkan kepada pihak penerima dan ada yang masih dalam pembinaan.