Khamis, 24 Februari 2022 | 5:49pm

Kontak rapat ada dos penggalak, tidak bergejala tidak perlu kuarantin mulai 1 Mac

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan individu yang menjadi kontak rapat tetapi menerima dos penggalak serta tidak bergejala, tidak lagi perlu menjalani kuarantin berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bagaimanapun individu berkenaan perlu menjalani ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir mereka terdedah dengan kes positif berkenaan.

"Sekiranya ujian yang dijalankan itu negatif, individu ini boleh lakukan urusan seperti biasa, manakala mereka yang positif pula perlulah melaporkan dalam aplikasi MySejahtera serta menjalani tempoh isolasi.

"Bagi individu yang lengkap dos vaksin dan belum menerima dos penggalak, mereka kekal perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lima hari," katanya pada sidang media hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, kontak rapat berusia 18 tahun ke atas dan sudah menerima dos penggalak namun mengalami gejala dan mereka yang sudah lengkap divaksinasi sama ada bergejala atau sebaliknya akan dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama lima hari.

Beliau berkata, mereka juga perlu melakukan ujian RTK Antigen sama ada secara profesional atau kendiri, pada hari kelima dan boleh dilepaskan daripada HSO sekiranya keputusan negatif COVID-19.

Katanya, mereka juga perlu melakukan ujian bergejala dalam tempoh lima hari dari tarikh akhir pendedahan kepada kes positif COVID-19 dan melaporkan hasil ujian sekiranya positif melalui MySejahtera.

Pada masa sama, Khairy berkata, mana-mana individu yang dijangkiti dan sudah pulih daripada COVID-19 tetapi tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin.

Beliau berkata, protokol yang digunakan menetapkan individu yang sudah lengkap vaksinasi dan baru dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 60 hari walaupun menjadi kontak rapat tidak perlu menjalani isolasi.

Namun, mereka yang bergejala masih perlu menjalani isolasi.

Sementara itu, Khairy berkata, perubahan pada protokol itu dibuat selepas penelitian terhadap data varian COVID-19 yang lain menunjukkan beban virus (viral load) akan menurun terhadap mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Berikutan itu, beliau berkata, KKM mengandaikan beban virus akan turun bagi individu yang sudah mendapatkan dos penggalak ketika negara sedang berdepan gelombang Omicron ketika ini.

"Yang kedua, sudah pasti ini adalah pendekatan yang sudah melalui penilaian risiko daripada KKM dan kita dapati sekiranya mereka tidak bergejala kemungkinan beban virus rendah adalah tinggi.

"Kita masih lagi ada langkah berjaga-jaga dari segi ujian pada hari pertama, ujian pada hari ketiga dan juga pemantauan kesihatan kendiri.

"Dalam tempoh beberapa hari selepas kontak rapat, mereka perlu menjalani penilaian kesihatan kendiri untuk memastikan mereka tidak ada beberapa gejala," katanya.

Beliau berkata, segala tindakan itu juga adalah antara langkah ke arah fasa endemik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Berita Harian X