Khamis, 24 Februari 2022 | 1:48pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

MB Negeri Sembilan positif COVID-19

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disahkan positif COVID-19 semalam.

Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan Aminuddin akan menjalani tempoh pengasingan mengikut ketetapan sebagai individu yang menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

"Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan COVID-19 jenis RT-PCR secara berkala selain kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.

"Kali terakhir beliau menjalani ujian RTK-Antigen dengan keputusan negatif pada Isnin lalu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan Menteri Besar akan terus memantau dan menjalankan tugas yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh kuarantin.

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan 1,998 kes baharu COVID-19 dengan satu kematian semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes COVID-19 di negeri itu sebanyak 138,562 kes.

"Sehingga kini, terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Aminuddin Baki menjadikan 33 kluster tempatan yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X