Rabu, 23 Februari 2022 | 7:52pm
Sebahagian penduduk, termasuk kanak-kanak dan remaja hadir mendengar penerangan daripada jawatankuasa masjid mengenai program bagi mengimarahkan Masjid Nur As-Sa’adah. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Sebahagian penduduk, termasuk kanak-kanak dan remaja hadir mendengar penerangan daripada jawatankuasa masjid mengenai program bagi mengimarahkan Masjid Nur As-Sa’adah. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

Lepas basikal, masjid hadiahkan motosikal kepada jemaah

MELAKA: Masjid Nur As-Sa'adah, Kampung Pengkalan Batu di sini, sekali lagi mencuri tumpuan apabila menawarkan hadiah motosikal pula dalam usaha mengimarahkan masjid.

Menerusi Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari sebelum ini, masjid itu menghadiahkan 40 unit basikal berharga RM20,000 kepada anak kariah.

Pengerusi masjid, Datuk Amzah Osman, berkata sebanyak empat unit motosikal Modenas Kriss MR3 berharga RM16,000 akan menjadi milik jemaah yang layak.

Beliau berkata, syaratnya jemaah terpilih perlu memenangi empat kategori dipertandingkan pada Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari bermula 1 Mac hingga 9 April depan.

"Kategori pertama bagi program mengimarah masjid ini khusus untuk anak kariah, kedua kategori terbuka kepada penduduk luar, manakala kategori tiga dan keempat untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid serta kaum wanita.

"Biarpun belum bermula, kita sudah dapat lebih 30 penyertaan bagi keempat-empat kategori yang terbuka kepada semua umat Islam berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen motosikal," katanya dihubungi hari ini.

Katanya, melalui program itu juga peserta diwajibkan berjemaah Subuh dan Isyak di masjid selama 40 hari berturut-turut.

"Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan mata tambahan jika berjemaah untuk semua waktu atau program lain anjuran masjid yang akan meningkatkan peluang kemenangan mereka," katanya.

Amzah berkata, beliau teruja apabila semakin hari ramai ahli kariah hadir mengimarahkan masjid untuk solat fardu.

"Niat saya bersama-sama ahli jawatankuasa masjid hanyalah untuk penuhkan masjid.

"Alhamdulillah semakin hari semakin ramai orang kampung yang berjemaah di masjid.

"Mereka datang bukan sebab motosikal kerana bukan semua akan dapat dan program juga baru diuar-uarkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, empat motosikal setiap satu berharga RM4,000 itu disumbang individu dermawan dan tidak menggunakan sebarang dana tabung masjid.

"Harapan kami mudah-mudahan institusi masjid ini akan jadi mesra kanak-kanak dan remaja kerana mereka inilah bakal pelapis dalam mengimarahkan rumah Allah ini pada masa depan," katanya.

Berita Harian X