Rabu, 23 Februari 2022 | 6:56pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto fail NSTP
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto fail NSTP

RUU Akta Sewaan Kediaman tidak akan dibentang tergesa-gesa

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman tidak akan dibentangkan di Parlimen sehingga ia melalui proses rundingan dan libat urus yang efektif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memberi jaminan RUU itu tidak akan dibentangkan secara tergesa-gesa.

"Kepentingan dan keadilan semua pihak adalah kunci utama dalam penggubalan RUU ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

November tahun lalu, Reezal memberitahu kementeriannya sedang menjalankan kajian dan penggubalan Akta Sewaan Kediaman bagi melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman.

Kajian bermula pada Jun 2020 antara lain berdasarkan model Residential Tenancies Act 2010 (New South Wales) Australia dan undang-undang berkaitan dari Jerman, United Kingdom, dan Afrika Selatan sebagai perbandingan.

Ketika ini, penyediaan perjanjian penyewaan kediaman menggunakan tatacara Akta Kontrak 1950 dan perjanjian itu bersifat umum yang tidak komprehensif serta tidak melindungi sepenuhnya kepentingan serta hak penyewa dan pemilik premis.

Reezal menjelaskan beliau meneliti pandangan pelbagai pihak mengenai RUU itu yang kini dalam peringkat mendapatkan pandangan umum.

Katanya, RUU itu pada falsafahnya bertujuan memberi keadilan kepada pemilik dan penyewa kediaman sepanjang tempoh sewaan.

"Namun saya sedar ada beberapa komponen di dalam cadangan RUU ini yang menjadi perhatian umum. Saya amat menyedarinya.

"Malah, saya juga berasa tidak senang dan tidak bersetuju dengan beberapa cadangan awal yang dikemukakan dalam RUU ini," katanya.

Beliau menegaskan mengambil inisiatif untuk mendengar pandangan pelbagai pihak seperti Persatuan Pembeli Rumah (HBA), baru-baru, ini dalam memastikan ia benar-benar menyeluruh.

"Teruskan memberi pandangan dan kita sama-sama mahu RUU ini memberi refleksi keadilan dan menjaga kepentingan semua pihak," katanya.

Berita Harian X