Rabu, 23 Februari 2022 | 4:55pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Sabah benar hadir solat di masjid tanpa dos penggalak

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada individu yang mahu mengerjakan solat lima waktu berjemaah dan solat Jumaat di masjid atau surau.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata pihaknya hanya mewajibkan rakyat Sabah yang menerima dua dos vaksin COVID-19 memasuki masjid atau surau bagi melaksanakan solat berjemaah.

"Setakat ini kita tidak mewajibkan dos penggalak (sebagai syarat memasuki masjid atau surau) sebaliknya memadai hanya menerima dua dos lengkap vaksin sahaja.

"Bermaksud kalau belum menerima dos penggalak pun boleh masuk ke masjid," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah untuk menambah kapasiti jemaah di masjid atau surau kepada 50 peratus.

Menurutnya, disebabkan terdapat peningkatan mendadak jumlah harian kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini, satu pekeliling dikeluarkan yang menetapkan hanya 150 jemaah atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau bagi masjid negeri, masjid bandaraya, Masjid bahagian (Tawau dan Sandakan) dan masjid daerah.

Bagi masjid dan surau lain dihadkan maksimum 100 atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau.

"Kita telah bermesyuarat semalam dan mengemukakan cadangan supaya kapasiti masjid dan surau ditambah kepada 50 peratus.

"Walau bagaimanapun masih belum ada kata putus daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah dan kita juga masih menunggu," katanya.

Disamping itu, beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemantauan semula terhadap trend kes COVID-19 di Sabah berdasarkan perkembangan semasa.

Berita Harian X