Rabu, 23 Februari 2022 | 2:48pm
Prof Dr Sazaly Abu Bakar.
Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

Tiada keperluan kontak rapat jalani kuarantin - Pakar

KUALA LUMPUR: Seorang pakar virologi berpendapat kontak rapat kes positif COVID-19 tidak perlu menjalani kuarantin lima hari bagi penerima dos penggalak dan tujuh hari bagi belum lengkap vaksin.

Prof Dr Sazaly Abu Bakar dari Universiti Malaya, berkata ini kerana Malaysia sudah merekodkan bilangan penerima vaksin premier dan dos penggalak yang ramai.

Katanya, apabila sudah menerima vaksin lengkap, kemungkinan untuk dijangkiti COVID-19 masih ada tetapi rendah walaupun menjalani kuarantin.

"Walaupun seseorang itu menjadi kontak rapat, tidak semestinya dia akan turut dijangkiti.

"Pada pendapat saya dalam situasi sekarang, selagi tidak positif COVID-19, tidak perlu menjalani kuarantin kerana ramai yang sudah mendapat suntikan vaksin dan dos penggalak.

"Jadi cadangan saya, kuarantin ini hanya untuk mereka yang positif sahaja dan bagi yang kontak rapat, boleh meneruskan kerja seperti biasa," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan tempoh kuarantin yang sesuai kepada kontak rapat positif COVID-19.

Bagaimanapun katanya, individu yang disahkan kontak rapat sama ada mempunyai gejala atau tidak, masih perlu membuat saringan harian menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen untuk tempoh tertentu.

Katanya, ia bagi memastikan individu itu benar-benar tidak dijangkiti penyakit berkenaan.

"Bagaimanapun apa yang penting adalah membuat ujian itu dengan teknik yang betul. Ramai yang salahkan kit RTK memberikan keputusan tidak tepat, tetapi sebenarnya ia bukan salah kit itu.

"Kit RTK yang dijual di Malaysia semuanya sudah disaring oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan sesuai digunakan," katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada KKM supaya menyediakan kit RTK Antigen kepada kontak rapat supaya mereka dapat menggunakan untuk memastikan tidak dijangkiti.

"Atau bagi yang bekerja, mungkin majikan boleh sebagai inisiatif membekalkan kit ujian itu kepada pekerja mereka," katanya.

Mulai 16 Januari lalu, KKM menetapkan kontak rapat yang menerima dos penggalak perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari, manakala yang lengkap, belum lengkap atau tiada vaksin, perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Individu yang mempunyai gejala, perlu membuat ujian RTK Antigen kendiri atau ke fasililiti kesihatan dan jika hari terakhir ujian menunjukkan negatif, mereka akan mendapat pelepasan atau selesai menjalani tempoh kuarantin.

Berita Harian X