KUALA LUMPUR: Diploma Pengurusan Haji dan Umrah oleh Kolej Antarabangsa Inovatif (IIC) bukan sekadar melahirkan mutawif tetapi paling penting melahirkan pengurus industri haji dan umrah.
Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa kolej terbabit, Mohamad Fikri Hasbi, berkata kewujudan bidang itu sejak 2019 dapat membantu memberi lebih kefahaman dalam menguruskan jemaah haji dan umrah dari mula sehingga akhir.
Katanya, ini kerana pelbagai modul akan diajar termasuk cara menguruskan tiket, visa, hotel selain latihan industri selama dua bulan di Malaysia dan sebulan di Makkah dan Madinah.
"Diploma ini akan dapat membantu menjadikan seorang individu itu menjadi lebih cekap dan profesional, cekap dan telus berikutan silibus yang digunakan juga adalah mengikut kehendak industri pelancongan haji dan umrah.
"Selain itu kerjasama rakan niaga YEG Academy sebagai pengurus kelancaran tadbir pengajian diharapkan dapat membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia mahu pun dunia," katanya.
Mohamad Fikri berkata, mereka yang mengikuti Diploma Pengurusan Haji dan Umrah selama tujuh semester, bukan sahaja boleh menjadi mutawif tapi banyak lagi bidang lain yang juga boleh diceburi termasuk pengurusan sumber manusia, pemandu pelancong serta menguruskan agensi pelancongan.
Katanya, mereka yang berminat menjadi mutawif juga boleh mengikuti kursus tambahan selama tiga bulan iaitu Sijil Profesional Haji dan Umrah yang baharu diperkenalkan tahun lalu.
"Menerusi sijil ini, mereka akan diajar dengan lebih mendalam cara menguruskan jemaah haji dan umrah termasuk cara menguruskan jenazah Jemaah," katanya.
Beliau berkata, syarat utama mengikuti diploma itu adalah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kredit.
"Menariknya, mereka yang tiada latar belakang bahasa Arab juga boleh mengikuti kursus ini kerana terdapat sillibus bahasa Arab yang perlu diikuti untuk tempoh empat semester," katanya.
Mohammad Fikri berkata, kewujudan bidang itu kini adalah seiring dengan peningkatan jemaah haji dan umrah setiap tahun.
Namun katanya, dalam era globalisasi dan zaman yang penuh kemajuan ini, akuinya terdapat permasalahan dan kekurangan tenaga pakar ketika ini untuk menguruskan program haji dan umrah ini dengan lebih lancar.
"Justeru penting untuk mempunyai ilmu yang bersesuaian supaya dapat menguruskan program haji dan umrah tanpa sebarang masalah tidak kira di Malaysia atau di Makkah dan Madinah," katanya.
Terdahulu, IIC menjalinkan kerjasama dengan melantik penceramah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz sebagai pensyarah kanan bagi jurusan baharu diperkenalkan pusat pengajian berkenaan.
Serentak dengan itu, berlangsung majlis menandatangani kontrak pelantikan berkenaan pada 17 Februari lalu di kolej berkenaan.
Muhammad Fikri berkata, kerjasama itu bertujuan untuk memperkasa bidang Diploma Pengurusan Haji dan Umrah yang cukup relevan untuk diperkenalkan pada masa kini.
Menariknya katanya, akademi itu juga sentiasa berusaha memperkenalkan bidang lain yang mempunyai pasaran kerjaya yang tinggi pada masa kini dan hadapan demi membantu golongan muda untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.
"Sebagai contoh, bermula Mac ini akademi itu bakal menjalankan inisiatif dalam membantu golongan lepasan SPM untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan melangsungkan YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang.
"Ia mengetengahkan isu 90 peratus pelajar yang menyesal akibat salah memilih bidang di peringkat yang tertinggi dan seterusnya menyebabkan mereka gagal untuk memenuhi permintaan majikan dan perkembangan diri.
"Bagi menyelesaikan masalah itu, akademi itu turut menawarkan pelbagai bidang yang mempunyai ekosistem pembelajaran terbaik seperti Diploma Pengurusan Haji dan Umrah sekali gus mengatasi kegusaran majikan terhadap kemahiran dan sikap graduan Kolej Antarabangsa Inovatif," katanya.
Sementara itu, PU Riz berkata, program itu sangat penting untuk diiktiraf di peringkat yang lebih tinggi memandangkan ia mempunyai keperluan serta permintaan yang tinggi dalam kalangan umat Islam.