Selasa, 22 Februari 2022 | 10:07pm

Penghuni asrama SMK Tongod, cetus Kluster Kuala Tongod

KOTA KINABALU: Seramai 68 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod dijangkiti COVID-19 sehingga mencetuskan Kluster Kuala Tongod.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster yang berkaitan dengan institusi jenis pendidikan itu telah dikesan mulai 8 Februari lalu menerusi saringan bergejala kluster indeks.

"Kes indeks adalah seorang remaja tempatan, 18, yang juga pelajar yang tinggal di asrama SMK Tongod.

"Kluster institusi pendidikan ini merekodkan 52 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68 kes positif COVID-19.

"Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 4,406 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 317,652 kes.

"Sebanyak 12 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lima kes di Kota Kinabalu, dua kes di Tuaran dan masing-masing satu kes di daerah Sandakan, Kuala Penyu, Penampang, Kota Marudu dan Beluran.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 3,329 menjadikan jumlah kumulatif 265,722 orang.

"Manakala 2,594 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,310 orang di hospital, 1,136 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 151 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)dan seorang di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X