Selasa, 22 Februari 2022 | 5:48pm
 Dr Muhamad Akmal menyampaikan cenderahati kepada kanan-kanak yang menerima vaksin di Hospital Alor Gajah.- NSTP/AMIR MAMAT
Dr Muhamad Akmal menyampaikan cenderahati kepada kanan-kanak yang menerima vaksin di Hospital Alor Gajah.- NSTP/AMIR MAMAT

Kit RTK Melaka dijual murah bermula bulan depan

ALOR GAJAH: Kit Ujian Pantas (RTK) yang dibawa masuk Perbadanan Bioteknologi Melaka akan mula diedarkan di pasaran tempatan awal bulan depan dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran di beberapa premis, khususnya farmasi terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata kit ujian yang sudah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) itu, dijangka dapat menampung keperluan dan permintaan yang semakin meningkat di negeri ini.

"Perbadanan Bioteknologi sudah diberi tanggungjawab untuk membawa masuk kit ujian RTK berkenaan ke Malaysia dan akan dijual dengan harga lebih murah, seperti janji kita dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Ketika ini, harga kit ujian di pasaran adalah RM4.90 seunit, namun apabila kita mula menjual alat keluaran Perbadanan Bioteknologi itu kelak, harganya lebih murah lagi.

"Saya yakin, langkah itu akan dapat membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan alatan ujian RTK terbabit," katanya selepas merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) Daerah Alor Gajah di Hospital Alor Gajah, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, segelintir penduduk Melaka mengeluh berikutan kesukaran mendapatkan kit ujian RTK di pasaran bagi melakukan ujian kendiri mengesan sama ada mereka dijangkiti pandemik atau sebaliknya.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, Melaka adalah negeri tertinggi dalam pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Katanya, sejak mula diagihkan 8 Februari lalu, sebanyak 23 peratus kanak-kanak yang layak menerima vaksin sudah menerima suntikan berkenaan.

"Saya jangka, jumlah itu akan terus meningkat khususnya pada cuti persekolahan bermula minggu depan dan insya-Allah, saya yakin menjelang pertengahan bulan depan, jumlah penerima vaksin kanak-kanak akan mencecah 50 peratus," katanya.

Berita Harian X