Selasa, 22 Februari 2022 | 11:20am
Mesyuarat MIC Bahagian Kulai pada 20 Februari lalu memutuskan hasrat memohon BN meletakkan calon parti itu bertanding kerusi DUN Bukit Batu pada PRN Johor. - Foto MIC KULAI
Mesyuarat MIC Bahagian Kulai pada 20 Februari lalu memutuskan hasrat memohon BN meletakkan calon parti itu bertanding kerusi DUN Bukit Batu pada PRN Johor. - Foto MIC KULAI

PRN Johor: MIC intai kerusi Bukit Batu

KULAI: MIC Johor menyatakan hasrat mahu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dalam kawasan Parlimen Kulai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

DUN terbabit sebelum ini ditandingi GERAKAN sebelum parti komponen Barisan Nasional (BN) itu meninggalkan gabungan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan yang juga Ketua Bahagian MIC Kulai, S Suppayah, berkata kerusi DUN Bukit Permai bakal ditandingi UMNO dan MCA pula di DUN Senai.

Jika diberi peluang kepada MIC bertanding di Bukit Batu, katanya, ia akan menunjukkan aspirasi Keluarga Malaysia dan Konsep Bangsa Johor di kawasan Parlimen Kulai.

"Pada mesyuarat dua hari lalu, MIC Kulai sebulat suara memutuskan hasrat memohon kerusi Bukit Batu. Bahagian, Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri kami sedia menghadapi cabaran bersama BN Kulai dan akan terus membantu masyarakat India, bukan sahaja di DUN Bukit Batu, tetapi juga di Bukit Permai, Senai dan Parlimen Kulai.

"Kami berharap BN negeri dan Pusat memberi peluang kepada MIC bertanding di Bukit Batu pada PRN Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Suppayah berkata, selepas kekalahan BN pada PRU-14, MIC Kulai tidak berhenti memberi perkhidmatan kepada masyrakat Kulai walaupun menjadi pembangkang.

"Jumlah pengundi India di Parlimen Kulai adalah 17,000 orang dan kami menyasarkan 80 peratus memilih BN. Sasaran ini berasaskan 56 peratus jumlah undi masyarakat India yang diperoleh BN pada PRU-14 walaupun berlaku tsunami politik," katanya.

Katanya, pengundi India di DUN Bukit Batu adalah seramai 3,790 orang atau 8.25 peratus, manakala bagi DUN Bukit Permai dan Senai pula, masing-masing seramai 5,216 atau 13.26 peratus dan 7,996 atau 12.64 peratus.

Pada PRU-14, DUN Bukit Batu dimenangi calon PKR, Jimmy Puah Wee Tse selepas memperoleh 17,105 undi bagi menewaskan Teo Lee Ho daripada GERAKAN dan calon PAS, Juwahir Amin.

Berita Harian X