Selasa, 22 Februari 2022 | 10:29am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: 43 kematian baharu direkodkan semalam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan, semalam, dengan didahului Johor dan Selangor yang masing-masing merekodkan 10 kes.

Menurut maklumat dalam portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), Kedah pula mencatat tujuh korban, diikuti Sabah (lima).

Seterusnya, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang (masing-masing dua), serta Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur (masing-masing satu).

Sementara itu, seramai 564,220 individu atau 15.9 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan data dalam laman web COVIDNOW, seramai 14,078,456 individu (59.8 peratus) populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

Selain itu, seramai 22,945,040 (97.5 peratus) populasi itu sudah lengkap vaksinasi, manakala 23,222,810 (98.7 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,799,132 individu (90 peratus) telah lengkap imunisasi, manakala 2,886,655 (92.8 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin COVID-19.

Sebanyak 137,307 dos vaksin diberikan, semalam, membabitkan 52,804 dos pertama, dos lengkap (1,024) dan dos penggalak (83,479).

Ia menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,289,382 dos. – BERNAMA

Berita Harian X