Isnin, 21 Februari 2022 | 1:44pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KPM teliti jumlah mata pelajaran yang diajar setiap hari

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menangani isu beg sekolah berat yang dianggap belum ada penyelesaian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata antara diberi perhatian adalah jumlah mata pelajaran yang diajar setiap hari selain buku latihan dari luar yang dibawa ke sekolah.

"Untuk sekolah rendah, adakalanya sehingga tujuh mata pelajaran sehari namun bagi sekolah yang mengajar tiga atau empat mata pelajaran sehari, kita dapat lihat bahawa berat beg lebih ringan.

"Berikutan itu, KPM sedang meneliti untuk melihat kekangan dalam konteks guru berdasarkan opsyen mata pelajaran," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Radzi berkata, KPM tidak boleh terus membuat keputusan dan arahan untuk sekolah mengurangkan jumlah mata pelajaran untuk diajar dalam sehari.

Pada masa sama, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membenarkan murid-murid menggunakan pakaian sekolah kebangsaan ke sekolah agama.

"Ini boleh mengurangkan beg berat anak-anak," katanya.

Radzi berkata, KPM turut meneliti cadangan penggunaan lokar bagi sekolah dua sesi, namun mengakui kos yang diperlukan untuk tujuan itu adalah besar.

Ditanya mengenai cadangan agar murid tidak diberi pinjaman buku teks, beliau berkata, buku teks boleh diletakkan di sekolah namun pelajar masih memerlukannya untuk mengulang kaji pelajaran.

"Kita juga melihat ada sesetengah buku teks jilidnya masih tebal, jadi antara pendekatan adalah sama ada kita boleh ditambah jilid dan murid boleh membawa buku lebih nipis," katanya.

Berita Harian X