Isnin, 21 Februari 2022 | 1:01pm

Lebih sejuta kanak-kanak daftar PICKids

PUTRAJAYA: Lebih satu juta atau 28 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun di negara ini sudah berdaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata seramai 1,022,966 kanak-kanak akan mendapatkan pelalian berkenaan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), yang diperkenalkan sejak 3 Februari lalu.

Pada masa sama, Khairy berharap ibu bapa tidak mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dalam isu pemberian vaksin kepada anak mereka.

"Ini kerana kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk PICKids hari ini," katanya dalam ciapan di Twitter.

Menerusi ciapan yang sama, Khairy memaklumkan, seramai 269,400 kanak-kanak di Selangor sudah didaftarkan untuk menerima imuniti COVID-19, sekali gus menjadi negeri paling tinggi dalam pendaftaran PICKids.

"Ia diikuti Johor (150,800), Kuala Lumpur (96,700), Sarawak (90,000), Pulau Pinang (69,000), Perak (66,000), Kedah (55,400), Pahang (44,500), Melaka (39,500), Sabah (39,000) dan Negeri Sembilan (36,000).

"Selain itu, Terengganu (28,100), Kelantan (21,900), Putrajaya (9,200), Perlis (4,700) dan Labuan (2,000)," katanya.

Memperincikan jumlah pemberian vaksin mengikut etnik, Khairy berkata, kanak-kanak daripada kaum Cina paling tinggi mendapatkan pelalian berkenaan di negara ini iaitu sebanyak 46.4 peratus.

"Kanak-kanak kaum Cina di lapan negeri yang sudah mendapatkan vaksin melebihi 50 peratus ialah di Melaka (80.3 peratus), Kedah (65.5 peratus), Kuala Lumpur (61.3 peratus), Perak (58.4 peratus), Pahang (58.1 peratus), Perlis (59 peratus), Terengganu (53.6 peratus) dan Selangor (53.5 peratus)," katanya.

Sementara itu, menerusi laman web COVIDNOW, sehingga semalam, sebanyak 14.5 peratus atau 513,393 kanak-kanak di negara ini sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Jumlah itu dicapai selepas sejumlah 58,894 dos diberikan semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beramah mesra bersama ibu dan kanak-kanak yang datang untuk mendapatkan vaksin. - Foto fail NSTP
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beramah mesra bersama ibu dan kanak-kanak yang datang untuk mendapatkan vaksin. - Foto fail NSTP
Berita Harian X