Isnin, 21 Februari 2022 | 11:14am

PM lancar program SemarakNiaga bernilai RM40 bilion

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri melancarkan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion hari ini, sebagai sebahagian daripada strategi induk Bajet 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program SemarakNiaga itu akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.

Program itu katanya, merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.

"Program SemarakNiaga akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor Kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutama dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini," katanya pada majlis pelancaran inisiatif itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Ismail Sabri berkata, bagi perniagaan mikro dan kecil, kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Untuk itu, beliau berkata melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional (CBRM) ditawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal.

Saiz dana untuk program itu sahaja berjumlah RM200 juta.

Katanya, bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar kosong peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Bagi perniagaan yang lebih matang, katanya, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (atau YEF 2.0).

"Secara kolektif, saiz dana kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta," katanya.

Beliau menjelaskan bagi syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, kerajaan dan institusi kewangan merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

"Antaranya ialah melalui kaedah pendanaan awam (crowd funding) dan pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing) yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), sebanyak RM100 juta.

Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan yang tinggi, katanya, kaedah pendanaan melebihi RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan ekuiti kuasi turut tersedia.

"Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta," katanya.

Pada masa sama, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET, dengan saiz dana sebanyak RM500 juta.

"Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama. Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS.

"Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar dan Kemudahan Agromakanan telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion.

"Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion," katanya.

Perdana Menteri berkata, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM22 bilion, disasarkan untuk membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

Berita Harian X