Ahad, 20 Februari 2022 | 3:23pm
Perhimpunan #TangkapAzamBaki, pada 22 Januari lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Perhimpunan #TangkapAzamBaki, pada 22 Januari lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Polis serah kertas siasatan himpunan desak KP SPRM ditahan

KUALA LUMPUR: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan penganjuran perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditahan, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata ketika ini, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak terbabit.

"Kertas siasatan kes berkenaan sudah lama lengkap dan dirujuk pejabat berkaitan. Kita masih menunggu arahan lanjut daripada pejabat berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan kehadiran beberapa individu terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki, pada 22 Januari lalu.

 Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

Selain ahli politik termasuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan aktivis, Adam Adli Abdul Halim, polis turut mengenal pasti orang awam yang menyertai perhimpunan yang dihadiri kira-kira 400 individu di sekitar Jalan Bangsar menuju ke Jalan Travers, di sini.

Lebih 50 peserta perhimpunan mula dikesan berkumpul di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar pada jam 10.45 pagi dengan memakai baju hitam sebelum peserta perhimpunan bertambah kepada 400 orang pada jam 11.45 pagi.

Dari LRT Bangsar, peserta perhimpunan berarak ke Jalan Travers sambil membawa kain rentang bercetak 'Tangkap' sebelum berhenti di persimpangan menuju ke pekan Brickfields.

Di situ, ketua perhimpunan memberikan ucapan selama 30 minit sebelum mereka berpatah balik ke LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat.

Berita Harian X