Sabtu, 19 Februari 2022 | 6:55pm

Sempadan negara dijangka dibuka suku kedua tahun ini

BATU PAHAT: Kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua tahun 2022 selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkannya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan berkenaan.

"Perdana Menteri telah memberikan masa dua minggu untuk saya dan KKM bagi menyediakan garis panduan berkenaan.

"Tapi ia bermakna pembukaan sempadan akan dibuka dalam masa dua minggu lagi dan tempoh dua minggu berkenaan adalah untuk menyiapkan garis panduan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan ibu dan kanak-kanak yang datang untuk mendapatkan vaksin di PPV Batu Pahat Mall (PICKids), Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan ibu dan kanak-kanak yang datang untuk mendapatkan vaksin di PPV Batu Pahat Mall (PICKids), Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Khairy berkata, selepas garis panduan berkenaan siap, pihaknya akan bentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Perincian garis panduan dan SOP itu akan dibentang pada jawatankuasa kuartet di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussien sebelum dibawa kepada jemaah menteri.

"Perkara itu adalah keputusan besar yang tidak boleh dibuat di peringkat KKM sahaja dan membabitkan dasar besar negara tentang pembukaan sempadan jadi perlu melalui beberapa peringkat sebelum diumumkan oleh PM," katanya.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang menyediakan garis panduan, SOP dan juga keputusan-keputusan tertentu yang perlu dibuat oleh jemaah menteri mengenai pembukaan sempadan negara.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Kesihatan mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.

Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada mahu membuka terus pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.

Beliau berkata, kerajaan perlu membuat pertimbangan yang seimbang sebelum melaksanakan pembukaan sempadan kerana ada rakyat yang masih belum dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa hidup dengan COVID-19.

Kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua tahun 2022. - Foto hiasan
Kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua tahun 2022. - Foto hiasan
Berita Harian X