Sabtu, 19 Februari 2022 | 2:37pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

"SPR perlu sedia kemudahan pengundi positif COVID-19 mengundi' - BERSIH

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan mekanisme terbaik supaya pemilih yang disahkan positif COVID-19 dapat menjalankan hak mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya, berkata berdasarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SPR, pemilih yang positif COVID-19 tidak dibenarkan keluar membuang undi mereka.

Katanya, perkara itu adalah satu pelanggaran Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada pemilih untuk mengundi.

"SPR sebagai badan yang diberikan kuasa untuk menjalankan proses pilihan raya tidak sepatutnya menghalang mereka menjalankan tanggungjawab.

"Selain itu, pengundi berstatus individu yang disyaki (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) juga masih perlu memohon kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar mengundi dan bergantung kepada penilaian PKD untuk membenarkan mengundi.

"Kebenaran mengundi atau tidak mengundi bukanlah kuasa PKD atau polis untuk menentukannya kerana Perlembagaan sudah pun memberikan hak kepada mereka," katanya hari ini.

Justeru BERSIH menggesa supaya SPR dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menjelaskan segera sama ada SOP itu akan menghalang pengundi positif COVID-19 dan PUI atau PUS untuk mengundi.

Katanya, BERSIH juga menggesa SPR dan KKM membenarkan mereka membuat pilihan untuk mengundi dan menyediakan kemudahan yang bersesuaian.

Semalam, dalam pengumuman SOP PRN Johor, SPR menetapkan pengundi berstatus PUI dan PUS perlu memohon kebenaran daripada PKD yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian sekiranya mahu keluar mengundi.

Kebenaran itu tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD berkenaan dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH meminta melonggarkan SOP untuk calon dan parti politik berkempen secara fizikal dengan menganjurkan ceramah, kempen rumah ke rumah, pengedaran risalah dan kempen menggunakan pembesar suara.

Katanya, pelonggaran itu adalah satu penambahbaikan dan penting supaya pengundi dapat memperoleh maklumat yang secukupnya tentang calon atau parti yang mereka akan undi.

"BERSIH turut berpandangan bahawa penganjuran ceramah tidak seharusnya terhad di bilik gerakan atau pejabat parti atau calon sahaja kerana ia sempit selain tidak semua berada di kawasan yang mempunyai ruang yang besar atau kawasan yang lapang.

"Oleh itu BERSIH menggesa SPR untuk mempertimbangkan semula perkara ini dan membenarkan penganjuran ceramah fizikal dibuat di kawasan lapang seperti padang atau tempat parkir kenderaan yang luas dengan SOP yang ketat seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan pembasmi kuman dan penyediaan kerusi dengan penjarakan fizikal satu meter," katanya.

Kenyataan itu berkata, pihaknya memahami akan keperluan untuk permohonan permit ceramah daripada polis, namun berpandangan bahawa pemberian notis untuk ceramah sudah mencukupi untuk memaklumkan pihak polis.

"Kami mencadangkan supaya pemberian notis perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum ceramah dianjurkan. Sebarang pertindihan perlu mengutamakan pihak yang menghantar notis terlebih dahulu," katanya.

Selain itu katanya, penetapan SOP untuk pengundi di kawasan Perintah Kawasan Diperketatkan (PKPD) memohon kepada polis supaya dapat ke pusat pengundian juga tidak diperlukan.

Katanya, cukup sekadar mereka menunjukkan keputusan kit ujian pantas (RTK) yang negatif dan dokumen seperti semakan daftar pemilih MySPR bagi membuktikan bahawa mereka pengundi dalam PRN Johor.

"Dengan ini, beban pihak polis akan berkurangan dan mereka boleh menjalankan tugas mereka untuk membantu SPR dalam penguatkuasaan penjalanan pilihan raya," katanya.

Berita Harian X