Sabtu, 19 Februari 2022 | 2:05pm

Peruntukan RM67 juta bangunkan 28 projek inovasi usahawan Bumiputera

MERSING: Seramai 1,270 penerima terdiri daripada keluarga golongan B40, menikmati pendapatan tambahan isi rumah sehingga melebihi paras kemiskinan semasa iaitu RM2,208 sebulan, menerusi usaha yang dilaksanakan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata sejumlah RM67.5 juta diperuntukkan melalui Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) bagi membangunkan 28 projek inovasi komuniti di 148 lokasi seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan kerjasama dengan 13 universiti awam serta tiga agensi sejak 2015 hingga kini.

"Program DPUB yang berkonsepkan inovasi komuniti ini adalah antara inisiatif kerajaan di bawah TERAJU untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Bumiputera, khususnya B40 terutamanya di kawasan luar bandar.

"Walaupun Bumiputera kaum majoriti di negara ini, iaitu pada kadar 69.4% atau seramai 22.52 juta orang, status sosio-ekonomi Bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan.

"Khususnya membabitkan kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah. Ini adalah realiti kedudukan sosio-ekonomi golongan Bumiputera hari ini, khususnya golongan B40," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Turun Padang bagi DPUB 2020 Zon Selatan di Far East Planet, Kampung Air Merah di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Rosli Md Illias serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Nazamid Saari.

Abd Latiff berkata, DPUB Zon Selatan membabitkan tiga program utama iaitu penternakan ikan kelah dan spesis tempatan yang diterajui UPM.

Katanya, program kedua dan ketiga pula dilaksanakan UTM iaitu penternakan udang kara air tawar dan pengeluaran produk bernilai tinggi berasaskan nanas.

Beliau berkata, seramai 91 peserta di zon selatan menerima manfaat sekaligus melonjakkan pendapatan serta taraf hidup masing-masing.

"Bagi memastikan usaha pemerkasaan Bumiputera ini dipaksikan dengan hala tuju jelas, kerajaan melalui TERAJU melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030)," katanya.

Dr Abdul Latif berkata, melalui model 'quadruple helix' TERAJU dengan rakan-rakan kolaborasi berkeupayaan seperti UPM, UTM, Far East Planet serta peserta, kerajaan berjaya membuka ruang dan peluang kepada golongan B40 untuk turut terbabit sebagai pemain dalam sektor berimpak tinggi yang akan menerajui industri masa hadapan.

Katanya, TERAJU akan terus melaksanakan tindakan-tindakan proaktif dan afirmatif seperti menambah baik tadbir urus dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera serta pengukuhan modal insan melalui peningkatan kapasiti dan keupayaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad melihat perusahaan ikan kelah Far East Planet pada Sesi Turun Padang bagi DPUB 2020 Zon Selatan di Far East Planet, Kampung Air Merah, Mersing, Johor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad melihat perusahaan ikan kelah Far East Planet pada Sesi Turun Padang bagi DPUB 2020 Zon Selatan di Far East Planet, Kampung Air Merah, Mersing, Johor.
Berita Harian X