Sabtu, 19 Februari 2022 | 12:49am
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

'Bayi kami selamat dengan cara luar biasa'

PASIR MAS: "Dia meninggal betul-betul depan mata saya sebab motosikalnya cuma lima meter di belakang saya."

Mohd Khairi Hasbullah, 31, tergamam melihat motosikal ditunggang isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, bertembung dengan motosikal lain dalam kejadian yang meragut dua nyawa di Kampung Lumpur di sini, jam 7 malam tadi.

Lebih menyayat hati, Mohd Khairi turut menyaksikan sendiri bayi lelaki sembilan bulan dalam kandungan isterinya 'dilahirkan' di lokasi kejadian.

"Saya berlari mendapatkan isteri yang tidak sedarkan diri sambil meriba bayi serta anak kedua kami berusia enam tahun yang membonceng motosikal ibunya.

"Kami menunggang dua motosikal beriringan. Isteri saya membawa seorang anak manakala dua orang lagi bersama saya untuk ke kedai runcit berhampiran.

"Motosikal yang ditunggang remaja lelaki itu terbabas dan memasuki laluan kami serta hampir berlanggar dengan saya, tapi saya sempat mengelak.

"Rupanya dia bertembung dengan motosikal isteri di belakang saya," katanya ketika ditemui di perkarangan unit forensik Hospital Pasir Mas, di sini, malam ini.

Mohd Khairi kerap melarang isterinya yang sarat mengandung daripada menunggang motosikal sendiri, namun mangsa bersungguh-sungguh meminta kebenaran sebelum mereka keluar petang tadi.

"Isteri saya dijangka melahirkan anak keempat kami pada 24 Februari ini.

"DIa pergi dengan cara sebegini tapi Allah menyelamatkan bayi kami dalam keadaan yang luar biasa.

"Sudah pasti saya sedih namun perlu kuat demi anak-anak. Anak kedua kami yang membonceng bersama isteri saya masih dirawat kerana cedera parah di kepala," katanya yang berasal dari Kampung Banggol Stol di sini.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Stol selepas selesai urusan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu namun siasatan terperinci masih dijalankan.

Berita berkaitan:

  • Bayi 'lahir' di lokasi nahas meninggal dunia
  • Dua maut nahas, bayi terkeluar dari kandungan selamat
  • Berita Harian X