Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:45pm

PRN Johor: Tiada acara rai kemenangan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan sebarang acara sambutan atau majlis keraian kemenangan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 bagi PRN Johor yang disediakan SPR menyatakan, hanya individu lengkap divaksinasi dibenarkan hadir.

Katanya, bilangan laluan masuk ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) perlu dihadkan bagi tujuan kawalan (laluan media, calon dan ahli/pegawai SPR/petugas pilihan raya/ pemerhati pilihan raya).

"Hanya lima pemerhati pilihan raya dibenar berada di dalam Dewan PPRU pada satu-satu masa.

"Selain itu, hanya lima penyokong calon yang menang dan tiga penyokong calon lain yang bertanding dibenarkan hadir ke PPRU.

"Kebenaran masuk ke PPRU akan dimaklumkan dan pas masuk diedar oleh Pegawai Pengurus sebelum pengumuman keputusan pilihan raya dibuat," katanya dalam senarai SOP yang dikongsi Majlis Keselamatan Negara (MKN), malam ini.

SPR menyebut, petugas pilihan raya perlu ditempatkan di khemah/bilik/ruang khas bagi urusan penerimaan peti undi dan dokumen pilihan raya manakala kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu ditempatkan bagi tujuan bantuan perubatan dan kawalan jangkitan untuk kes individu bergejala.

Katanya, petugas yang mengendalikan individu bergejala perlu mematuhi prosedur ditetapkan serta memakai peralatan perlindungan diri (PPE) merangkumi pelitup muka, apron, pelindung muka dan sarung tangan sepanjang mengendalikan individu berkenaan.

SOP pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRN Johor

Berita berkaitan:

  • PRN Johor: 'Kempen di media sosial, akhbar dan saluran televisyen'
  • PRN Johor: Guna mySPR Semak ketahui waktu mengundi
  • Pengundi berstatus PUI, PUS perlu mohon kebenaran PKD
  • PRN Johor: Boleh kempen ziarah, dilarang masuk rumah
  • Satu bilik gerakan parti, calon sahaja dibenarkan di setiap daerah
  • PRN Johor: Ceramah, kempen fizikal dibenar
  • Tiada perhimpunan, perarakan pada hari penamaan calon PRN Johor
  • Berita Harian X