Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:13am
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Tingkat operasi penagih tegar kekang jenayah kekerasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan mempertingkatkan operasi dan tangkapan ke atas penagih tegar di seluruh negara bagi menangani kes jenayah kekerasan membabitkan golongan berkenaan.

Ia dibuat melalui pemeriksaan rekod peribadi penagih sama ada dia kembali kepada penyalahgunaan dadah melalui sistem maklumat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya juga menerusi JSJN Kontinjen dan daerah akan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat khususnya Ketua-Ketua Kampung, Penghulu atau Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dalam menyalurkan maklumat penagih berulang.

"Maklumat mengenai penagih berulang yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan ahli keluarga atau masyarakat di kawasan kampung ini amat penting.

"Ini adalah bagi membolehkan tindakan awal dan berkesan dapat diambil oleh PDRM," katanya kepada BH.

Ayob Khan berkata setiap pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah juga akan turun ke lapangan membuat pemerhatian dan penilaian ke atas penagih tegar dan mempunyai masalah mental untuk memastikan mereka tidak ketagihan atau rindu kepada dadah.

"Objektifnya adalah supaya rawatan dan pemulihan awal dapat diberi oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau pemberian penggunaan methadone oleh klinik-klinik berdaftar.

"Dalam isu ini pihak PDRM boleh mengawal ketagihan penagih dadah dan mengelakkan tindakan yang boleh mengancam nyawa dan mencederakan ahli keluarga dalam keadaan separa sedar atau halusinasi," katanya.

Beliau berkata program membabitkan JSJN dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dipertingkatkan bagi membantu penagih kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan baharu bagi mengatasi masalah peningkatan penagihan dadah dalam kalangan masyarakat atau ahli keluarga.

Tegasnya, dadah mempengaruhi ketidakstabilan emosi, tekanan serta kesan berpanjangan yang mengganggu fungsi minda seseorang apatah lagi penagih yang mempunyai masalah mental.

Berita Harian X