Jumaat, 18 Februari 2022 | 10:38am
Foto hiasan
Foto hiasan

Penggunaan ICU, katil hospital, PKRC di Kelantan meningkat

KOTA BHARU: Peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak dua minggu lalu menyebabkan penggunaan unit rawatan rapi (ICU), katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata penggunaan ICU untuk pesakit COVID-19 adalah 47 peratus, diikuti katil hospital bukan kritikal adalah 84 peratus dan PKRC sebanyak 63 peratus.

Katanya, peningkatan ini disebabkan ada kes individu yang positif COVID-19 dalam kategori 3, 4 dan 5.

"Namun, kes bagi ketiga-tiga kategori itu tidak membimbangkan kerana kebanyakan kes yang positif COVID-19 harian adalah dalam kategori 1 dan 2.

"Kebanyakan pesakit juga hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan kepada individu yang lain," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak akhir-akhir ini, disebabkan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk.

Justeru, beliau menggesa kepada semua supaya sentiasa menjaga diri untuk mengurangkan kes jangkitan harian di Kelantan.

"Jika ada gejala, kita minta mereka melakukan ujian kendiri di rumah dan melaporkan dalam MySejahtera terutama bagi individu yang berisiko untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, terdapat 64 kluster aktif di Kelantan sehingga semalam termasuk satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Banggol Kulim.

Beliau berkata, jumlah positif COVID-19 di negeri ini semalam juga adalah sebanyak 1,783 kes.

Berita Harian X